
Saya tidak fikir Taufik patut mengeluarkan ancaman melalui media. Kalau dia nak beri amaran, tulis surat pada saya dan sepatutnya dengar dulu penjelasan saya sebelum mahu mengambil tindakan. - Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
Annuar nafi jalan tugas atas kapasiti Presiden KAFA
“SAYA patuh sepenuhnya, tapi kalau ada yang berasakan saya ada melanggar apa-apa, mereka boleh kemukakan surat, bukannya membuat ugutan.”
Itu kata-kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang digantung dua tahun enam bulan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak.
Menurutnya, Taufik sepatutnya mendapat penjelasan daripadanya jika ada sebarang masalah berbangkit, bukannya mengeluarkan ugutan memecatnya daripada barisan induk bola sepak itu kerana sehingga hari ini, beliau tidak menjalankan apa-apa tugas rasmi atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden FAM atau Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selepas dihukum.
Sebaliknya, segala kegiatan membabitkan dirinya bersama kelab penyokong Kelantan bersifat peribadi.
“Saya tidak menjalankan apa-apa tugas, tak menandatangani satu surat pun, tak mempengerusikan apa-apa mesyuarat KAFA pun,” kata Annuar membalas kenyataan Taufik dalam akhbar kelmarin yang dipetik sebagai berkata, tindakan boleh diambil terhadapnya sekiranya Presiden KAFA itu gagal patuh kepada tindakan disiplin yang dikenakan terhadapnya.
Antara dakwaan Taufik ialah Annuar hadir merasmikan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan pelancaran CD Dikir Warriors di Kota Bharu, Isnin lalu.
“Saya tidak fikir Taufik patut mengeluarkan ancaman melalui media. Kalau dia nak beri amaran, tulis surat pada saya dan sepatutnya dengar dulu penjelasan saya sebelum mahu mengambil tindakan.
“Saya bukan budak yang boleh dibuli. Macamlah saya tidak tahu peraturan dan undang-undang. Ini membabitkan kredibiliti saya sebagai seorang yang masih menjadi pegawai FAM,” katanya.
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!