
Bojan Hodak
SEKEMBALI ke tanah air awal minggu ini, pasukan Kelantan menjuarai Liga Super dengan LionsXII dari Singapura di tangga kedua. Skuad Kuala Lumpur pula menjunam ke Liga Perdana dan Azlan Iskandar menyanyi lagu di promo televisyen!
Kehangatan persiapan ke Sukan Olimpik London juga dirasai di media manakala temasya Sukan Malaysia (Sukma) menerima sambutan berbelah bagi.
Kejayaan Kelantan amat membanggakan kerana salah seorang rakan karib saya menerajui pasukan itu. Jurulatih Bojan Hodak menjadi penolong jurulatih saya semasa rancangan realiti tv, MyTeam dan seterusnya mencipta kejayaan sebagai jurulatih utama.
Jelas Kelantan mencapai satu tahap yang begitu tinggi dari aspek taktikal serta fizikal. Bojan seorang jurulatih yang tegas serta teliti mempersiapkan pasukan dan kejayaan Kelantan juga terletak di bahunya kerana berjaya melakukan percaturan pemain serta menyesuaikan diri dengan beberapa pertandingan seperti Piala AFC.
Memang benar Kelantan mempunyai skuad yang penuh dengan antara pemain terbaik negara tapi tugas mengendalikan pemain seperti ini lebih rumit.
Kerap timbul masalah pemain yang tidak puas hati apabila digugurkan atau tidak diturunkan tapi Bojan mengatasi situasi itu dengan pengurusan yang baik.
Tahniah kepada Bojan kerana melatih serta mengurus pemain dengan bijak.
LionsXII pula muncul naib juara dan pasti menyesal kerana tidak mempamerkan keberanian sebenar pada permulaan musim dengan corak permainan negatif. Walaupun memilih pemain terbaik tempatan Singapura, pasukan ini terlalu menghormati pasukan tempatan.
Diharap perjuangan mereka dalam saingan Piala Malaysia berbeza selepas memahami tahap bola sepak Liga Super.
Sementara pasukan Kuala Lumpur terus dilanda nasib malang tapi pihak pengurusan harus memberi kepercayaan kepada jurulatih Razip Ismail serta pemain kerana satu musim di Liga Perdana boleh menjadi batu loncatan. Seharusnya, pembangunan pasukan berterusan di satu tahap lebih rendah kerana Liga Super bukan tempatnya.
Bola Shebbie – http://www.hmetro.com.my
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!