Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] atau dikenali Kelate Dot Net (KDN) merupakan pelopor kelab penyokong siber bola sepak yang pertama wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak tahun 1999 lagi. Sokongan kami adalah zaman-berzaman, Gomo Kelate Gomo!

Tidak Perlu Letak Jawatan: Annuar

Kemaskini pada 05/08/2010 / Oleh Webmaster


KOTA BHARU – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa menganggap cadangan supaya anggota jawatankuasa FAM yang terpilih pada pemilihan kongres tahunan minggu lalu melepaskan jawatan di peringkat negeri sebagai tidak praktikal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan yang dikemukakan oleh bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dalam akhbar kelmarin.

“Saya fikir polemik sebegini (melepaskan jawatan) merupakan satu perkara yang tidak penting. Kita perlu merujuk kembali kepada peraturan-peraturan sedia ada dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja bakal kita lakukan,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Kota Bharu, semalam.

“Saya fikir lebih baik banyak polemik kepada soal-soal bagaimana hendak memperbaiki kedudukan Malaysia dalam senarai Fifa. Itu yang perlu kita fikirkan dan merupakan satu cabaran yang besar bagi kita.

“Kita juga perlu memikirkan bagaimana mahu memastikan Liga Malaysia pada musim hadapan tampil dengan wajah baru. Kita juga mesti menyelesaikan masalah berkenaan status skuad Harimau Muda sama ada perlu pergi ke luar negara (Slovakia atau Korea) atau tidak. Semua ini memerlukan kita membuat keputusan dengan cepat,” katanya.

Annuar berkata, FAM mempunyai banyak tugas-tugas yang berjalan secara berterusan sepanjang musim ini seperti Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT).

Sementara itu, Annuar turut mengakui mutu bola sepak negara mula mendapat perhatian dan mendapat publisiti yang begitu meluaskan sejak akhir-akhir ini.

“Saya fikir masa untuk bergembira selepas pemilihan (kongres tahunan lalu) sudah pun berakhir dan masa bekerja secara serius harus bermula daripada sekarang

“Kerja mengendalikan bola sepak Malaysia bukan satu perkara yang mudah. Ianya tidak sama seperti mengendalikan persatuan bola sepak negeri yang sangat berbeza, terutama sekali dalam merangka program pembangunan, bagaimana untuk mengubah mutu penganjuran liga tempatan dan juga penyertaan daripada swasta.

“Saya selalu tekankan, terdapat empat segmen yang perlu kita ambil perhatian iaitu pihak FAM, pihak kerajaan, pihak swasta dan juga peminat-peminat bola sepak. Saya harap media dapat menitikberatkan tentang empat perkara yang saya sebutkan itu.

“Ini merupakan satu cabaran besar kepada bola sepak negara. Kita (FAM) belum berkesempatan lagi mengadakan mesyuarat. Jadi saya minta kepada semua peminat-peminat bola sepak memberi ruang dan masa kepada kita di FAM,” katanya.

-Sinar Harian-

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.


Sokongan Kami Zaman Berzaman