Kelate.net

Waspada Kebangkitan Johor FC

Kemaskini pada May 3, 2011 / Oleh Webmaster


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!
Pemain Kelantan dijangka menerima tentangan sengit apabila bertemu Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang, malam ini
Pemain Kelantan dijangka menerima tentangan sengit apabila bertemu Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang, malam ini

KOTA BHARU – Kemenangan besar Johor FC 3-0 ke atas Sabah memberi isyarat yang cukup jelas kepada peneraju takhta liga, Kelantan bahawa pertemuan menentang pasukan berstatus kelab di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam ini tidak boleh dipandang enteng.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu sendiri turut mengakui ranjau berduri menanti anak buahnya dalam usaha mempertahankan kedudukan ditangga teratas liga apatah lagi dua pencabar terdekat, Selangor dan Terengganu dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan lawan masing-masing.

“Sepanjang musim ini kita sudah dua kali bertemu dengan Johor FC dan kemenangan berpihak kepada kita dalam kedua-dua pertemuan itu. Namun saya mengingatkan kepada pemain bahawa situasi kali ini sudah cukup berbeza apabila bertemu lawan yang sama kali ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Jelas kemenangan besar 3-0 ke atas Sabah memberi satu motivasi yang tinggi kepada pasukan mereka bagi menghadapi kita. Biarpun hanya mampu mencatatkan dua kemenangan ditempat sendiri setakat ini, namun kemenangan tersebut memberi peringatan kepada kita bahawa kemampuan anak buah Azuan Zain tidak boleh dipandang mudah.

“Pertemuan ini merupakan sesuatu yang sukar tetapi tidak mustahil bagi kita untuk mencatatkan kemenangan. Saya berpesan kepada pemain saya, kalau kita ingin terus mengekalkan kedudukan dipuncak liga, kita harus menang perlawanan ini. Kita tidak boleh kalah dan perlu meneruskan rentak kemenangan,” katanya.

Karathu sendiri turut menghormati keupayaan rakan sejawatannya, Azuan Zain yang merupakan seorang jurulatih berpengalaman dan pakar dalam menyusun taktikal berkesan pasukannya.

“Saya lihat mereka gemar menggunakan formasi 3-5-2 setiap kali bertemu pasukan lawan. Mereka lebih suka mengamalkan corak permainan secara bertahan dan bertindak melakukan serangan balas pantas disebalik kelekaan pemain lawan.

“Aksi pertemuan pusingan pertama di Kota Bharu menyaksikan mereka terlebih dahulu menjaringkan gol. Anda mesti ingat ketika itu, kita melancarkan serangan menggila namun pemain mereka memanfaatkan peluang melalui serangan balas dengan menjaringkan gol. Saya fikir situasi itu tidak harus berlaku dalam perlawanan malam ini.

Sementara itu, Karathu turut menarik nafas lega apabila dapat menyenaraikan kesebelasan terbaik Kelantan rentetan semua pemainnya bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.

“Saya hanya akan menurunkan kesebelasan terbaik. Tidak banyak pertukaran pemain dilakukan. Mungkin satu atau dua pemain akan diberi peluang tetapi saya anggap itu perkara biasa didalam rombakan pasukan bagi menghadapi satu-satu perlawanan,” katanya.

Dalam aksi perlawanan Liga Super di Kota Bharu pertengahan Februari lalu, Kelantan mengalahkan Johor FC 4-1 sementara dalam aksi pusingan kedua kalah mati kempen Piala FA awal Mac lalu, Kelantan menamatkan cabaran Sang Lebah itu menerusi kemenangan tipis 1-0.

Komentar

PERINGATAN: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim [0358-12-KEL] (www.Kelate.Net) tidak bertanggungjawab terhadap semua komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun itu sendiri dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Semua komentar terikat dengan undang-undang kerajaan Malaysia dan segala risiko akibat komentar yang ditulis menjadi tanggungjawab sepenuhnya pemilik akaun itu sendiri. Sila baca polisi Penafian.

Sokongan Kami Zaman Berzaman